Selasa, 19 April 2016

Contoh Karangan Bahagian B - Sukan

Tajuk: Kini ibu bapa terlalu mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak memberikan galakan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum terutamanya sukan.

Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah kepada masyarakat dan negara kita. Walau bagaimanapun, ada segelintir ibu bapa yang tidak memberi galakkan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum dan hanya menumpukan sepenuh perhatian dalam pencapaian akademik sahaja. Anggapan sebegini adalah salah kerana aktiviti kokurikulum banyak memberikan kesan positif kepada pelajar untuk cemerlang di bidang akademik dan kokurikulum. Sekiranya ibu bapa memberikan galakkan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan sukan di negara ini lebih mudah tercapai seperti kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakkan seperti membelikan peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Contohnya, ibu bapa boleh membelikan baju, kasut, peralatan sukan seperti raket atau kayu hoki dan sebagainya yang diperlukan oleh anak mereka. Janganlah disediakan dengan peralatan yang ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk di tangga. Dengan ini, minat anak-anak dalam bidang sukan dapat dikembangkan seterusnya mereka akan berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestai serta mencapai kemenangan yang boleh mengharumkan nama ibu bapa, sekolah, negeri dan juga negara.

         Ibu bapa juga berperanan untuk menasihati anak-anak supaya mereka bergiat cergas dalam kegiatan sukan boleh membentuk anak-anak yang sihat dan cergas. Di samping itu, anak-anak yang mempunyai bakat yang besar dan mempunyai potensi untuk maju bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara dipersada dunia. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah kalau kita hendak menjadikan anak-anak kita berjaya di bidang sukan, galakkan mereka untuk menceburinya dari sejak kecil lagi.

        Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam sukan. Mereka juga boleh menemani dan menyaksikan sendiri anak-anak mereka berlatih atau bertanding. Dengan adanya sokongan daripada ibu bapa, sudah tentulah akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak mereka dalam usaha untuk mencipta kejayaan.

     Belikan juga anak-anak majalah sukan atau video yang berkaitan dengan sukan yang diceburi supaya anak-anak boleh meningkatkan lagi pengetahuan dalam sukan yang diceburinya. Selain itu, kisah-kisah kejayaan ahli-ahli sukan idola mereka yang dipaparkan di majalah-majalah boleh dijadikan pembakar semangat untuk mereka berusaha dengan lebih gigih.

     Sebagai kesimpulannya, peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan amat besar sekali. Ibu bapa perlulah diberikan kesedaran dan kefahaman kepentingan anak-anak mereka menceburi bidang sukan supaya negara dapat melahirkan lebih ramai lagi jaguh sukan di peringkat dunia. Tidak dinafikan kejayaan di bidang akademik amat penting, tetapi ianya harus diseimbangkan dengan kejayaan di bidang kokurikulum juga terutamanya sukan. Yang bulat tak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang, begitu juga dengan sukan, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang keras dan paling penting galakkan dan dorongan ibu bapa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan