Jumaat, 13 Mei 2016

Surat Tidak Rasmi - Perlumbaan Motosikal Haram

Rakan anda sering terbabit dalam perlumbaan motosikal haram. Anda ingin menasihatinya supaya meninggalkan aktiviti yang tidak berfaedah tersebut. Tulis sepucuk surat kepada rakan anda itu.

No.54 Jalan 62,
Taman Tasik,
68000,Ampang,
Selangor Darul Ehsan.

11 November 2006

Menemui sahabatku, Razali yang kini berada di Kota Kemuning semoga saudara berada dalam keadaan sifat dan walafiat di samping keluarga yang tersayang.

Saudara,

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf daripada saudara kerana telah sekian lama tidak berutus surat dengan saudara. Saudara tentu maklum bahawa kita akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Saya amat sibuk dengan persediaan-persediaan untuk peperiksaan ini. Bagaimanakah pula persediaan saudara? Saya mendapat maklumat bahawa saudara terbabit dalam perlumbaan motosikal haram. Saya amat terkejut dan juga berharap agar khabar angin tersebut tidak benar. Perlumbaan haram banyak mendatangkan keburukan bukan sahaja pada diri kita, malah kepada ahli keluarga kita yang disayangi dan pengguna jalan raya yang lain.

Perlumbaan haram merupakan satu aktiviti yang tidak sihat dan salah di sisi undang-undang. Kerajaan sentiasa mengorak langkah untuk membanteras aktiviti ini.Dalam surat khabar baru-baru ini, kerajaan menegaskan bahawa tiada maaf untuk `mat rempit’ yang kian berleluasa di bandar-bandar besar. Bukan itu sahaja, pihak polis juga telah menahan pelumba-pelumba haram untuk dijatuhi hukuman yang sewajarnya. Sebagai rakan , saya tidak sampai hati melihat saudara dimasukkan ke dalam lokap. Saya merayu kepada suadara supaya kembalilah ke pangkal jalan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Seterusnya, perlumbaan haram juga membahayakan nyawa diri sendiri dan nyawa orang lain.Apabila seseorang itu berlumba, dia sebenarnya meletakkan nyawanya sebagai pertaruhan.Kebanyakan pelumba haram menemui maut kerana terlibat dalam kemalangan. Mereka yang meninggal dunia ini dianggap sebagai mati katak kerana kematiannya sia-sia, iaitu ibu bapa mereka tidak akan mendapat sebarang pampasan daripada pihak insirans. Kita sering kali terbaca berita berkenaan kes kemalangan maut yang melibatkan pelumba-pelumba haram.Bukan itu sahaja, pelumba haram juga meletakkan nyawa pengguna jalan raya yang lain di ambang kematian.Saya berharap agar saudara sentiasa mengingati dan mengharagai keluarga tersayang dan meninggalkan tabiat buruk ini.

Selain itu, perlumbaan haram juga merupakan satu aktiviti yang membazirkan masa. Kita sangat memerlukan masa untuk mengulang kaji pelajaran atau membaca buku. Masa kini begitu genting kerana kita bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi. Masa yang terluang seharusnya digunakan untuk menelaah pelajaran dan bukannya menyertai aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Saudara harus ingat bahawa SPM merupakan penentu segala-galanya. Dalam zaman sekarang, saingan untuk mencapai kejayaan dan merebut peluang untuk ke peringkat yang lebih tinggi amat sengit. Institusi-institusi pengajian tinggi hanya menawarkan peluang pendidikan kepada mereka yang mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Masa depan kita pula bergantung pada kecemerlangan kita dalam peperiksaan.

Di samping itu, pergaulan yang tidak sihat turut timbul jika saudara terus terbabit dalam aktiviti perlumbaan haram.Kebanyakan pelumba haram bukanlah calang-calang orangnya.Saudara tidak akan tahu latar belakang mereka yang sebenarnya. Kebanyakan antara mereka berasal daripada latar belakang keluarga yang bermasalah. Mereka berlumba haram untuk mencari keseronokan dan kepuasan serta untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi daripada keluarga. Mereka juga mungkin merupakan penjenayah yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi mencapai matlamat hidup.Mereka akan mempengaruhi kenalan baharu dan memimpin kawan baharunya ke jalan yang salah. Misalannya, remaja dipujuk untuk lari dari rumah atau melakukan jenayah dan juga mengambil pil-pil ekstasi. Saya berharap semoga saudara tidak terpengaruh dengan tabiat-tabiat negatif ini.

Sebelum mengakhiri surat ini, saya sekali lagi menasihati saudara agar meninggalkan aktiviti yang tidak sihat ini dan menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.Ibu bapa saudara sudah tentu risau akan pelajaran saudara. Saya yakin bahawa saudara masih belum terlambat lagi untuk mengubah tabiat ini. Masa depan saudara masih ada. Sekiranya saudara meneruskan tabiat buruk ini, sayalah orang yang paling kecewa. Sebelum mengundur diri, saya berharap agar kita dapat berjumpa lagi dalam warkah yang akan datang.

Sahabatmu,
Kamal


Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara

                
Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dala m sektor pelancongan. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah “Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara”.
Tulis rencana itu selengkapnya.



                Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

                Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara (negara-negara asing). Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yang diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

                Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

                Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak pada setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

                Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia ini lagi. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

                Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.


Khamis, 5 Mei 2016

Nota Rumusan

Pelajar digalakkan supaya menukar arahan soalan dengan menggunakan perkataan yang bersinonim (sama maksud) dengan kata atau frasa tersebut.


Contoh:
(a) Faktor : sebab, punca
(b) Kesan : Implikasi, akibat
(c) Langkah : Usaha, cara