Khamis, 21 April 2016

Amalan Gaya Hidup Sihat

Masyarakat Malaysia kini mula sedar akan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dalam usaha menjaga kesihatan diri.

Jelaskan amalan gaya hidup sihat ini.

Gaya hidup sihat dikaitkan dengan konsep mengamalkan satu corak kehidupan yang baik dalam diri seseorang. Antara contoh gaya hidup sihat ini meliputi aspek pemakanan yang betul dan mengamalkan senaman yang berkala. Media massa telah banyak kali menyiarkan berita tentang gaya hidup sihat ini kerana sudah ada kajian yang menyatakan bahawa kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin bertambah. Jelaslah, ada banyak gaya hidup sihat yang boleh diamalkan oleh masyarakat Malaysia.

Aspek pemakanan yang seimbang menjadi penentu dalam menjalani satu kehidupan yang sihat. Rakyat telah banyak kali diingatkan bahawa mereka hendaklah mengambil diet yang betul terutama mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka itu. Pemakanan yang seimbang memastikan tubuh badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden yang penuh dengan masalah ini. Jadi, diet yang baik menjadikan kehidupan seseorang manusia itu lebih sihat untuk jangka masa yang panjang.

Selain itu, pemeriksaan doktor yang berkala untuk menjamin satu kehidupan yang sihat.  Langkah ini baik untuk diamalkan agar pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak doktor itu mampu untuk mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Kejayaan mengesan penyakit berbahaya pada peringkat awal memastikan cara pencegahan dan rawatan yang terperinci mendatangkan impak yang positif kepada kesihatan seseorang itu. Sesungguhnya, sikap suka bertemu dengan doktor menjadi satu ciri utama untuk menjalani kehidupan yang sihat.

Bukan sahaja diet yang seimbang dan pemeriksaan doktor tetapi senaman yang berjadual juga memainkan peranan utama dalam kehidupan yang sihat. Senaman setiap pagi atau petting menjamin peluh keluar daripada badan dengan banyaknya. Keadaan ini menyebabkan semua toksik badan keluar dan tekanan stres yang dialami terus dapat dihilangkan jua. Oleh itu, senaman menjadi aktiviti yang paling baik untuk memiliki satu gaya hidup yang baik buat manusia.

Malah, rehat yang cukup juga memainkan peranan penting dalam gaya hidup yang sihat ini. Manusia perlulah berehat antara 6-8 jam sehari dengan tidur yang berkualiti dan juga kaedah rehat yang lainnya. Manusia memerlukan rehat kerana ketika rehat inilah seluruh sistem badan manusia akan mampu memulihkan tenaganya untuk meneruskan kehidupan pada esok harinya. Jadi, rehat yang meliputi tindakan yang berbeza daripada kebiasaan yang dilakukan oleh seseorang itu boleh memberi pemulihan tenaga yang amat diperlukan oleh badan manusia.

Aspek pemikiran minda juga hendaklah positif jika manusia ingin memiliki gaya hidup yang sihat ini. Pemikiran positif ini penting kerana kehidupan zaman modern begitu banyak tekanan baik di pejabat dan juga di rumah bersama-sama alam kebendaan yang begitu ketara itu. Mereka yang memahami diri sendiri dan melihat sesuatu peristiwa itu dengan persepsi yang positif sudah pasti akan mampu menerima cabaran hidup dengan lebih matang lagi rasional. Sesungguhnya, minda yang positif sahaja mampu mengatasi tekanan kehidupan moden yang begitu mendesak ini.

Kesimpulannya, semua langkah tadi membuktikan satu gaya hidup yang sihat boleh dicapai oleh manusia. Kerjasama semua amat diperlukan terutama kesedaran diri sendiri agar kesihatan menjadi keutamaan dalam hidup semua pihak. Kegagalan untuk bertindak dengan segera bakal menyaksikan masyarakat kita searing dilanda penyakit demi penyakit yang boleh membawa impak buruk pula. Slogan badan cergas otak cerdas membuktikan betapa pentingnya aspek kesihatan dalam diri manusia yang ingin sejahtera kehidupannya.

Contoh Karangan - Punca Berlaku Buli di Sekolah

Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda.  Tajuk syarahan anda ialah punca-punca berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah.  Tuliskan teks syarahan anda selengkapnya. 
          

           Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa, Puan Hjh Rohanah bt Esmail, Yang dihormati Guru Penolong Kanan Petang Puan Kalsom bte Haron,  barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Asalamualaikum , salam sejahtera serta salam satu Malaysia.

           Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

        Berdirinya  saya pada hari ini yang berbahagia ini, adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Punca-punca Gejala Buli di Sekolah.’  Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu soalan iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli’?

           Hadirin yang dihormati sekalian,

Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

   Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang terlibat.   Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.  Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya.  Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama.  Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya,   ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka  menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.

           Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini.  Pada zaman yang serba moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.  Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan prihatian kapada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja.  Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah.  Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.

.   Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli ini.  Para pelajar yang masih terlalu muda,  dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan matang.  Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.  Jelaslah,  rakan sebaya yang menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.

Bagaimana dengan pihak media massa?  Seperti yang kita ketahui, media masa terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan sebagainya.  Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.  Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli rakan-rakan mereka yang lain.
         
Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi.  Semoga apa yang telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.  Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.


Rabu, 20 April 2016

Contoh Karangan - Isu kenaikan harga barangan

Isu kenaikan harga barang hangat diperkatakan oleh masyarakat pada hari ini. Sebagai seorang pengguna yang prihatin, tulis sebuah rencana tentang kesan-kesan daripada kenaikan tersebut kepada masyarakat dan negara serta cadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Kebelakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mengamalkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelanjaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 peratus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatu barangan sekaligus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contoh, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.
Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam dagi di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah.Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap sperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan sesuka hati hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan tegas seperti ini akan menyebabkan mereka tiak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga barang.


Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak terutamanya pengguna. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama bagai aur dengan tebig untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tetapi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin hendaklah bersama-sama mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang. 

Selasa, 19 April 2016

Contoh Karangan Bahagian B - Sukan

Tajuk: Kini ibu bapa terlalu mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak memberikan galakan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum terutamanya sukan.

Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah kepada masyarakat dan negara kita. Walau bagaimanapun, ada segelintir ibu bapa yang tidak memberi galakkan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum dan hanya menumpukan sepenuh perhatian dalam pencapaian akademik sahaja. Anggapan sebegini adalah salah kerana aktiviti kokurikulum banyak memberikan kesan positif kepada pelajar untuk cemerlang di bidang akademik dan kokurikulum. Sekiranya ibu bapa memberikan galakkan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan sukan di negara ini lebih mudah tercapai seperti kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakkan seperti membelikan peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Contohnya, ibu bapa boleh membelikan baju, kasut, peralatan sukan seperti raket atau kayu hoki dan sebagainya yang diperlukan oleh anak mereka. Janganlah disediakan dengan peralatan yang ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk di tangga. Dengan ini, minat anak-anak dalam bidang sukan dapat dikembangkan seterusnya mereka akan berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestai serta mencapai kemenangan yang boleh mengharumkan nama ibu bapa, sekolah, negeri dan juga negara.

         Ibu bapa juga berperanan untuk menasihati anak-anak supaya mereka bergiat cergas dalam kegiatan sukan boleh membentuk anak-anak yang sihat dan cergas. Di samping itu, anak-anak yang mempunyai bakat yang besar dan mempunyai potensi untuk maju bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara dipersada dunia. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah kalau kita hendak menjadikan anak-anak kita berjaya di bidang sukan, galakkan mereka untuk menceburinya dari sejak kecil lagi.

        Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam sukan. Mereka juga boleh menemani dan menyaksikan sendiri anak-anak mereka berlatih atau bertanding. Dengan adanya sokongan daripada ibu bapa, sudah tentulah akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak mereka dalam usaha untuk mencipta kejayaan.

     Belikan juga anak-anak majalah sukan atau video yang berkaitan dengan sukan yang diceburi supaya anak-anak boleh meningkatkan lagi pengetahuan dalam sukan yang diceburinya. Selain itu, kisah-kisah kejayaan ahli-ahli sukan idola mereka yang dipaparkan di majalah-majalah boleh dijadikan pembakar semangat untuk mereka berusaha dengan lebih gigih.

     Sebagai kesimpulannya, peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan amat besar sekali. Ibu bapa perlulah diberikan kesedaran dan kefahaman kepentingan anak-anak mereka menceburi bidang sukan supaya negara dapat melahirkan lebih ramai lagi jaguh sukan di peringkat dunia. Tidak dinafikan kejayaan di bidang akademik amat penting, tetapi ianya harus diseimbangkan dengan kejayaan di bidang kokurikulum juga terutamanya sukan. Yang bulat tak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang, begitu juga dengan sukan, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang keras dan paling penting galakkan dan dorongan ibu bapa.