Rabu, 13 Julai 2016

Puisi Tradisional - Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran)

Maksud:

Rangkap 1
Seseorang isteri dianggap tidak sempurna walaupun memiliki kecantikan jika dia tidak tahu melakukan kerja-kerja dapur.

Rangkap 2
Jika seseorang yang tidak berilmu  cuba menunjukkan kepandaian, sudah pasti dia akan ditertawakan.

Rangkap 3
Seseorang pemimpin tidak akan dapat berbuat apa-apa setelah kuasanya telah hilang

Rangkap 4
Perasaan bimbang apabila seseorang  yang melakukan sesuatu di luar  berkemampuan.

Rangkap 5
Perasaan hairan yang timbul apabila  orang bawahan  berjaya mengambil alih kuasa daripada seseorang pemimpin yang berpengaruh.

Tema
Sindiran terhadap masyarakat yang bersikap luar biasa.

Persoalan
1.     Persoalan tanggungjawab seorang isteri terhadap urusan rumah tangga.
2.     Persoalan kepentingan memiliki ilmu pengetahuan.
3.     Persoalan pemimpin yang kehilangan kuasa.
4.     Persoalan kebimbangan melihat sesuatu perkara yang luar biasa .
5.     Persoalan musibah yang berlaku akibat kelalaian.

Bentuk
1.    Terdiri daripada lima rangkap.
2.    Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
3.    Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5.
·         kupu-kupu terbang melintang (3 perkataan)
·         kalau tak pandai menumbuk sambal (5 perkataan)
4.    Terdiri daripada 9 hingga 11 suku kata.
Apa guna berkain batik (9 suku kata)
Apalah guna beristeri cantik (11 suku kata)
5.    Rima akhir pantun ini ialah abab kecuali rangkap kedua, abac
6.    Pantun ini adalah puisi terikat.

Gaya Bahasa
1.     Asonansi -  Kalau tidak memakai capal – pengulangan vokal a
2.    Aliterasi  -   Melihat ikan memanjat kayu – pengulangan konsonan m
3.    Sinkope  -  Kalau tak pandai menumbuk sambal
4.    Personikasi  - Ikan kering lagi ketawa , Mendengar tupai membaca kitab
5.   Unsur alam - Haiwan – ikan, tupai, harimau, kambing, burung, kupu-kupu, Tumbuhan – rotan,saga

Nilai
1.    Nilai bertanggungjawab
Seseorang isteri bertanggungjawab menguruskan rumah tangga dengan baik.

2.    Nilai kegigihan
Seseorang yang gigih berusaha bagi mencapai matlamatnya.

3.    Nilai rasional
Seseorang yang rasional dalam melakukan sesuatu perkara.

Pengajaran
1.  Kita haruslah  bertanggungjawab menguruskan rumah tangga agar kehidupan lebih harmoni.
2.   Kita mestilah gigih meningkatkan kemahiran diri agar tidak dipandang rendah.

3.  Kita haruslah berfikir dan bertindak  secara rasional agar tidak mendatangkan masalah kepada orang lain.

Puisi Tradisional - Pantun Empat Kerat (Budi)

Maksud:

Rangkap 1
Seseorang yang berbudi, namanya pasti akan disebut-sebut.

Rangkap 2
 Seseorang yang berbudi akan terus menjadi sebutan walaupun telah meninggal dunia.

Rangkap 3
Walaupun hanya sedikit budi yang ditaburkan akan tetap dikenang.

Rangkap 4
Perasaan kasih sayang yang wujud dalam diri seseorang akan menyebabkan hubungan mereka berterusan ke akhir hayat.

Tema
Kelebihan mempunyai budi pekerti yang baik

Persoalan
1.     Persoalan budi yang sentiasa dikenang walaupun telah meninggal dunia.
2.      Persoalan ketinggian nilai budi.
3.     Persoalan kasih sayang yang wujud sesama insan hasil daripada budi yang ditaburkan.

Bentuk
1.     Terdiri daripada empat  rangkap.
2.     Setiap rangkap terdiri daripada empat baris
3.     Jumlah perkataan dalam setiap baris antara tiga hingga lima.
·         Anak itik terenang-renang  (tiga perkataan)
·         Jika tak kenang kepada saya  (lima perkataan)
4.     Terdiri daripada 9 hingga 11 suku kata.
·         Terang  bulan  terang  di  paya  (9 suku kata)
·         Orang yang  mati meninggalkan nama  (11 suku kata)
5.     Rima akhir pantun ini ialah abab
6.     Bentuk pantun ini terikat dengan puisi tradisional.

Gaya Bahasa
1.     Asonansi - Terang bulan terang di paya  - pengulangan vokal a
2.    Aliterasi –   Orang yang mati meninggalkan nama. –pengulangan konsonan g
3.     Kata ganda - Anak ikan terenang-renang
4.     Sinkope –  Jika tak kenang kepada saya
5.     Repitasi -  Terang bulan terang di paya

Nilai
1.     Nilai menghargai budi.
Budi yang ditabur oleh seseorang akan dikenang walaupun orang itu telah tiada.

2.    Nilai keikhlasan.
Keikhlasan menghulurkan budi kepada insan lain.

Pengajaran
1.     Kita haruslah  berbudi kepada orang lain agar disanjung oleh masyarakat.
2.    Kita mestilah ikhlas menabur budi agar kehidupan lebih sejahtera.

3.  Kita hendaklah menghargai budi yang dicurahkan oleh orang lain agar hubungan berkekalan.

Jumaat, 13 Mei 2016

Surat Tidak Rasmi - Perlumbaan Motosikal Haram

Rakan anda sering terbabit dalam perlumbaan motosikal haram. Anda ingin menasihatinya supaya meninggalkan aktiviti yang tidak berfaedah tersebut. Tulis sepucuk surat kepada rakan anda itu.

No.54 Jalan 62,
Taman Tasik,
68000,Ampang,
Selangor Darul Ehsan.

11 November 2006

Menemui sahabatku, Razali yang kini berada di Kota Kemuning semoga saudara berada dalam keadaan sifat dan walafiat di samping keluarga yang tersayang.

Saudara,

Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf daripada saudara kerana telah sekian lama tidak berutus surat dengan saudara. Saudara tentu maklum bahawa kita akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi. Saya amat sibuk dengan persediaan-persediaan untuk peperiksaan ini. Bagaimanakah pula persediaan saudara? Saya mendapat maklumat bahawa saudara terbabit dalam perlumbaan motosikal haram. Saya amat terkejut dan juga berharap agar khabar angin tersebut tidak benar. Perlumbaan haram banyak mendatangkan keburukan bukan sahaja pada diri kita, malah kepada ahli keluarga kita yang disayangi dan pengguna jalan raya yang lain.

Perlumbaan haram merupakan satu aktiviti yang tidak sihat dan salah di sisi undang-undang. Kerajaan sentiasa mengorak langkah untuk membanteras aktiviti ini.Dalam surat khabar baru-baru ini, kerajaan menegaskan bahawa tiada maaf untuk `mat rempit’ yang kian berleluasa di bandar-bandar besar. Bukan itu sahaja, pihak polis juga telah menahan pelumba-pelumba haram untuk dijatuhi hukuman yang sewajarnya. Sebagai rakan , saya tidak sampai hati melihat saudara dimasukkan ke dalam lokap. Saya merayu kepada suadara supaya kembalilah ke pangkal jalan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Seterusnya, perlumbaan haram juga membahayakan nyawa diri sendiri dan nyawa orang lain.Apabila seseorang itu berlumba, dia sebenarnya meletakkan nyawanya sebagai pertaruhan.Kebanyakan pelumba haram menemui maut kerana terlibat dalam kemalangan. Mereka yang meninggal dunia ini dianggap sebagai mati katak kerana kematiannya sia-sia, iaitu ibu bapa mereka tidak akan mendapat sebarang pampasan daripada pihak insirans. Kita sering kali terbaca berita berkenaan kes kemalangan maut yang melibatkan pelumba-pelumba haram.Bukan itu sahaja, pelumba haram juga meletakkan nyawa pengguna jalan raya yang lain di ambang kematian.Saya berharap agar saudara sentiasa mengingati dan mengharagai keluarga tersayang dan meninggalkan tabiat buruk ini.

Selain itu, perlumbaan haram juga merupakan satu aktiviti yang membazirkan masa. Kita sangat memerlukan masa untuk mengulang kaji pelajaran atau membaca buku. Masa kini begitu genting kerana kita bakal menduduki peperiksaan SPM tidak lama lagi. Masa yang terluang seharusnya digunakan untuk menelaah pelajaran dan bukannya menyertai aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Saudara harus ingat bahawa SPM merupakan penentu segala-galanya. Dalam zaman sekarang, saingan untuk mencapai kejayaan dan merebut peluang untuk ke peringkat yang lebih tinggi amat sengit. Institusi-institusi pengajian tinggi hanya menawarkan peluang pendidikan kepada mereka yang mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Masa depan kita pula bergantung pada kecemerlangan kita dalam peperiksaan.

Di samping itu, pergaulan yang tidak sihat turut timbul jika saudara terus terbabit dalam aktiviti perlumbaan haram.Kebanyakan pelumba haram bukanlah calang-calang orangnya.Saudara tidak akan tahu latar belakang mereka yang sebenarnya. Kebanyakan antara mereka berasal daripada latar belakang keluarga yang bermasalah. Mereka berlumba haram untuk mencari keseronokan dan kepuasan serta untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi daripada keluarga. Mereka juga mungkin merupakan penjenayah yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi mencapai matlamat hidup.Mereka akan mempengaruhi kenalan baharu dan memimpin kawan baharunya ke jalan yang salah. Misalannya, remaja dipujuk untuk lari dari rumah atau melakukan jenayah dan juga mengambil pil-pil ekstasi. Saya berharap semoga saudara tidak terpengaruh dengan tabiat-tabiat negatif ini.

Sebelum mengakhiri surat ini, saya sekali lagi menasihati saudara agar meninggalkan aktiviti yang tidak sihat ini dan menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.Ibu bapa saudara sudah tentu risau akan pelajaran saudara. Saya yakin bahawa saudara masih belum terlambat lagi untuk mengubah tabiat ini. Masa depan saudara masih ada. Sekiranya saudara meneruskan tabiat buruk ini, sayalah orang yang paling kecewa. Sebelum mengundur diri, saya berharap agar kita dapat berjumpa lagi dalam warkah yang akan datang.

Sahabatmu,
Kamal


Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara

                
Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dala m sektor pelancongan. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah “Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara”.
Tulis rencana itu selengkapnya.



                Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah yang untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

                Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara (negara-negara asing). Banyak produk pelancongan yang wajar diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit. Misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yang diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

                Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Oleh yang demikian, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

                Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak pada setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan acara antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi pelancongan di negara kita.

                Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini. Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia ini lagi. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

                Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan mancanegara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia.


Khamis, 5 Mei 2016

Nota Rumusan

Pelajar digalakkan supaya menukar arahan soalan dengan menggunakan perkataan yang bersinonim (sama maksud) dengan kata atau frasa tersebut.


Contoh:
(a) Faktor : sebab, punca
(b) Kesan : Implikasi, akibat
(c) Langkah : Usaha, cara


Khamis, 21 April 2016

Amalan Gaya Hidup Sihat

Masyarakat Malaysia kini mula sedar akan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dalam usaha menjaga kesihatan diri.

Jelaskan amalan gaya hidup sihat ini.

Gaya hidup sihat dikaitkan dengan konsep mengamalkan satu corak kehidupan yang baik dalam diri seseorang. Antara contoh gaya hidup sihat ini meliputi aspek pemakanan yang betul dan mengamalkan senaman yang berkala. Media massa telah banyak kali menyiarkan berita tentang gaya hidup sihat ini kerana sudah ada kajian yang menyatakan bahawa kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin bertambah. Jelaslah, ada banyak gaya hidup sihat yang boleh diamalkan oleh masyarakat Malaysia.

Aspek pemakanan yang seimbang menjadi penentu dalam menjalani satu kehidupan yang sihat. Rakyat telah banyak kali diingatkan bahawa mereka hendaklah mengambil diet yang betul terutama mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet mereka itu. Pemakanan yang seimbang memastikan tubuh badan menerima semua khasiat yang diperlukan untuk menangkis kehidupan zaman moden yang penuh dengan masalah ini. Jadi, diet yang baik menjadikan kehidupan seseorang manusia itu lebih sihat untuk jangka masa yang panjang.

Selain itu, pemeriksaan doktor yang berkala untuk menjamin satu kehidupan yang sihat.  Langkah ini baik untuk diamalkan agar pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak doktor itu mampu untuk mengesan sebarang simpton awal penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia pula. Kejayaan mengesan penyakit berbahaya pada peringkat awal memastikan cara pencegahan dan rawatan yang terperinci mendatangkan impak yang positif kepada kesihatan seseorang itu. Sesungguhnya, sikap suka bertemu dengan doktor menjadi satu ciri utama untuk menjalani kehidupan yang sihat.

Bukan sahaja diet yang seimbang dan pemeriksaan doktor tetapi senaman yang berjadual juga memainkan peranan utama dalam kehidupan yang sihat. Senaman setiap pagi atau petting menjamin peluh keluar daripada badan dengan banyaknya. Keadaan ini menyebabkan semua toksik badan keluar dan tekanan stres yang dialami terus dapat dihilangkan jua. Oleh itu, senaman menjadi aktiviti yang paling baik untuk memiliki satu gaya hidup yang baik buat manusia.

Malah, rehat yang cukup juga memainkan peranan penting dalam gaya hidup yang sihat ini. Manusia perlulah berehat antara 6-8 jam sehari dengan tidur yang berkualiti dan juga kaedah rehat yang lainnya. Manusia memerlukan rehat kerana ketika rehat inilah seluruh sistem badan manusia akan mampu memulihkan tenaganya untuk meneruskan kehidupan pada esok harinya. Jadi, rehat yang meliputi tindakan yang berbeza daripada kebiasaan yang dilakukan oleh seseorang itu boleh memberi pemulihan tenaga yang amat diperlukan oleh badan manusia.

Aspek pemikiran minda juga hendaklah positif jika manusia ingin memiliki gaya hidup yang sihat ini. Pemikiran positif ini penting kerana kehidupan zaman modern begitu banyak tekanan baik di pejabat dan juga di rumah bersama-sama alam kebendaan yang begitu ketara itu. Mereka yang memahami diri sendiri dan melihat sesuatu peristiwa itu dengan persepsi yang positif sudah pasti akan mampu menerima cabaran hidup dengan lebih matang lagi rasional. Sesungguhnya, minda yang positif sahaja mampu mengatasi tekanan kehidupan moden yang begitu mendesak ini.

Kesimpulannya, semua langkah tadi membuktikan satu gaya hidup yang sihat boleh dicapai oleh manusia. Kerjasama semua amat diperlukan terutama kesedaran diri sendiri agar kesihatan menjadi keutamaan dalam hidup semua pihak. Kegagalan untuk bertindak dengan segera bakal menyaksikan masyarakat kita searing dilanda penyakit demi penyakit yang boleh membawa impak buruk pula. Slogan badan cergas otak cerdas membuktikan betapa pentingnya aspek kesihatan dalam diri manusia yang ingin sejahtera kehidupannya.

Contoh Karangan - Punca Berlaku Buli di Sekolah

Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda.  Tajuk syarahan anda ialah punca-punca berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah.  Tuliskan teks syarahan anda selengkapnya. 
          

           Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa, Puan Hjh Rohanah bt Esmail, Yang dihormati Guru Penolong Kanan Petang Puan Kalsom bte Haron,  barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Asalamualaikum , salam sejahtera serta salam satu Malaysia.

           Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

        Berdirinya  saya pada hari ini yang berbahagia ini, adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Punca-punca Gejala Buli di Sekolah.’  Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu soalan iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli’?

           Hadirin yang dihormati sekalian,

Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

   Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang terlibat.   Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.  Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya.  Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama.  Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya,   ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka  menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.

           Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini.  Pada zaman yang serba moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.  Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan prihatian kapada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja.  Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah.  Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.

.   Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli ini.  Para pelajar yang masih terlalu muda,  dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan matang.  Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.  Jelaslah,  rakan sebaya yang menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.

Bagaimana dengan pihak media massa?  Seperti yang kita ketahui, media masa terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan sebagainya.  Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.  Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli rakan-rakan mereka yang lain.
         
Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi.  Semoga apa yang telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.  Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.


Rabu, 20 April 2016

Contoh Karangan - Isu kenaikan harga barangan

Isu kenaikan harga barang hangat diperkatakan oleh masyarakat pada hari ini. Sebagai seorang pengguna yang prihatin, tulis sebuah rencana tentang kesan-kesan daripada kenaikan tersebut kepada masyarakat dan negara serta cadangkan langkah-langkah untuk mengatasinya.

Kebelakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mengamalkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelanjaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 peratus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatu barangan sekaligus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contoh, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.
Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam dagi di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah.Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak bersikap sperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan sesuka hati hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan tegas seperti ini akan menyebabkan mereka tiak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga barang.


Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak terutamanya pengguna. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama bagai aur dengan tebig untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tetapi sebagai rakyat Malaysia yang prihatin hendaklah bersama-sama mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga barang. 

Selasa, 19 April 2016

Contoh Karangan Bahagian B - Sukan

Tajuk: Kini ibu bapa terlalu mementingkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Oleh yang demikian, mereka tidak memberikan galakan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum terutamanya sukan.

Huraikan pendapat anda tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan.

Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian kerana aktiviti sukan mendatangkan banyak faedah kepada masyarakat dan negara kita. Walau bagaimanapun, ada segelintir ibu bapa yang tidak memberi galakkan kepada anak-anak dalam aktiviti kokurikulum dan hanya menumpukan sepenuh perhatian dalam pencapaian akademik sahaja. Anggapan sebegini adalah salah kerana aktiviti kokurikulum banyak memberikan kesan positif kepada pelajar untuk cemerlang di bidang akademik dan kokurikulum. Sekiranya ibu bapa memberikan galakkan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat untuk memajukan sukan di negara ini lebih mudah tercapai seperti kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan galakkan seperti membelikan peralatan sukan. Sekiranya anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Contohnya, ibu bapa boleh membelikan baju, kasut, peralatan sukan seperti raket atau kayu hoki dan sebagainya yang diperlukan oleh anak mereka. Janganlah disediakan dengan peralatan yang ala kadar sahaja seperti melepaskan batuk di tangga. Dengan ini, minat anak-anak dalam bidang sukan dapat dikembangkan seterusnya mereka akan berlatih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan prestai serta mencapai kemenangan yang boleh mengharumkan nama ibu bapa, sekolah, negeri dan juga negara.

         Ibu bapa juga berperanan untuk menasihati anak-anak supaya mereka bergiat cergas dalam kegiatan sukan boleh membentuk anak-anak yang sihat dan cergas. Di samping itu, anak-anak yang mempunyai bakat yang besar dan mempunyai potensi untuk maju bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan yang lebih cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara dipersada dunia. Melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah kalau kita hendak menjadikan anak-anak kita berjaya di bidang sukan, galakkan mereka untuk menceburinya dari sejak kecil lagi.

        Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan dijalankan. Dengan cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam sukan. Mereka juga boleh menemani dan menyaksikan sendiri anak-anak mereka berlatih atau bertanding. Dengan adanya sokongan daripada ibu bapa, sudah tentulah akan mendatangkan kesan yang lebih mendalam kepada anak-anak mereka dalam usaha untuk mencipta kejayaan.

     Belikan juga anak-anak majalah sukan atau video yang berkaitan dengan sukan yang diceburi supaya anak-anak boleh meningkatkan lagi pengetahuan dalam sukan yang diceburinya. Selain itu, kisah-kisah kejayaan ahli-ahli sukan idola mereka yang dipaparkan di majalah-majalah boleh dijadikan pembakar semangat untuk mereka berusaha dengan lebih gigih.

     Sebagai kesimpulannya, peranan ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak menceburi bidang sukan amat besar sekali. Ibu bapa perlulah diberikan kesedaran dan kefahaman kepentingan anak-anak mereka menceburi bidang sukan supaya negara dapat melahirkan lebih ramai lagi jaguh sukan di peringkat dunia. Tidak dinafikan kejayaan di bidang akademik amat penting, tetapi ianya harus diseimbangkan dengan kejayaan di bidang kokurikulum juga terutamanya sukan. Yang bulat tak akan datang bergolek dan yang pipih tidak akan datang melayang, begitu juga dengan sukan, kejayaan tidak akan datang tanpa usaha yang keras dan paling penting galakkan dan dorongan ibu bapa.

Khamis, 25 Februari 2016

Langkah Untuk Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam di Negara Kita

          Zaman beralih, musim bertukar, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), kereta api, komuter dan monorel. Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
...........Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. Di Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk menaiki kereta api atau menaiki bas. Hal ini bertepatan dengan peribahasa “serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan harian mereka. Jadi jikalau sistem tiket bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam............Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang ramai. Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200 kilometer sejam. Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan perjalanan pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan pengangkutan awam............Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya. Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut. Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk menaiki pengangkutan awam............Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang kurang berdisiplin, sistem perakam perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat............Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya, tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat. Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”............Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam. Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka............Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.