Khamis, 21 April 2016

Contoh Karangan - Punca Berlaku Buli di Sekolah

Anda telah menyertai pertandingan syarahan anjuran Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda.  Tajuk syarahan anda ialah punca-punca berlakunya gejala buli dalam kalangan pelajar di sekolah.  Tuliskan teks syarahan anda selengkapnya. 
          

           Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Dato' Syed Esa, Puan Hjh Rohanah bt Esmail, Yang dihormati Guru Penolong Kanan Petang Puan Kalsom bte Haron,  barisan hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Asalamualaikum , salam sejahtera serta salam satu Malaysia.

           Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

        Berdirinya  saya pada hari ini yang berbahagia ini, adalah untuk menyampaikan syarahan yang bertajuk 'Punca-punca Gejala Buli di Sekolah.’  Sebelum saya meneruskan syarahan saya, ingin saya kemukakan satu soalan iaitu , apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan rangkai kata 'gejala buli’?

           Hadirin yang dihormati sekalian,

Menurut Kamus Dewan, gejala buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

   Sebenarnya, antara punca berlakunya gejala buli ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang terlibat.   Agama Islam contohnya, menggariskan nilai-nilai murni dan akhlak mulia yang selaras dengan tuntutan agama.  Umpamanya, nilai hormat-menghormati sesama manusia, kasih-sayang, belas kasihan, amanah, bertanggungjawab dan sebagainya.  Namun, mereka yang terlibat dalam gejala buli ini tidak lagi menghayati dan mengamalkan suruhan agama.  Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya,   ketandusan nilai keagamaan dalam diri mereka  menyebabkan gejala buli ini semakin berleluasa.

           Selain itu, ibu bapa juga menjadi punca berlakunya gejala buli ini.  Pada zaman yang serba moden inil kebanyakan ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.  Hal ini menyebabkan mereka kurang memberikan belaian kasih sayang, kemesraan dan prihatian kapada anak-anak mereka. Contohnya, terdapat segelintir Ibu bapa yang keluar bekerja seawal 6.30 pagi dan pulang lewat malam. Mereka tidak ada masa untuk mengambil tahu perkembangan anak-anak terutama yang remaja.  Tugas dan tanggungjawab menjaga anak-anak diserahkan bulat-bulat kepada pembantu rumah.  Justeru, kekurangan perhatian daripada ibu bapa turut menjadi punca gejala buli ini.

.   Di samping itu, pengaruh rakan sebaya di sekolah juga merupakan salah satu punca yang penting menyebabkan pelajar terlibat dalam kegiatan membuli ini.  Para pelajar yang masih terlalu muda,  dikatakan berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang sebahagian besarnya masih belum boleh berfikir dengan matang.  Contohnya, mereka amat mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebaya dan tidak dapat berfikir tentang baik buruknya tindakan mereka itu. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya.  Jelaslah,  rakan sebaya yang menjadi orang penting dalam kehidupan remaja selain ibu bapa menjadi punca gejala buli ini.

Bagaimana dengan pihak media massa?  Seperti yang kita ketahui, media masa terutamanya televisyen sering menayangkan filem-filem yang berunsur keganasan, pergaduhan dan sebagainya.  Filem dan rancangan terutamanya dari barat dan Hong Kong jelas memaparkan unsur keganasan seperti rancangan gusti, filem-filem aksi pertarungan dan pembunuhan jelas membewa pengaruh buruk kepada remaja kita.  Pelajar meniru aksi yang disaksikan di televisyen untuk membuli rakan-rakan mereka yang lain.
         
Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun jari sepuluh dan memohon kemaafan jika ada kesilapan tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi.  Semoga apa yang telah saya sampaikan sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.  Akhir kata terimalah dua rangkap pantun daripada saya.


1 ulasan: