Berikut adalah contoh karangan yang dipetik daripada laman lain untuk menunjukkan cara menulis karangan jenis ucapan. Karangan jenis ucapan haruslah dimulakan dengan penghormatan dan salam kepada pihak yang menghadiri ucapan tersebut. Seterusnya, ucapkan terima kasih kerana sudi diberi peluang untuk penyampaian ucapan tersebut. Karangan ini juga diakhiri dengan penutup dan kata sekian, terima kasih.
Yang
dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang berbahagia Tuan Pegawai Daerah Kubang Pasu,
pegawai polis trafik, dan hadirin yang dihormati sekalian. Saya mengucapkan
ribuan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan ceramah dalam
majlis ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kes
kemalangan jalan raya menjelang hari raya semakin meningkat sejak kebelakangan
ini. Pada tahun-tahun lepas kadar kemalangan jalan raya pada musim perayaan
khususnya Hari Raya Aidilfitri tidak sebanyak pada tahun lepas. Terdapat banyak
punca yang menyebabkan berlakunya peningkatan kes kemalangan jalan raya di
negara kita.
Antara punca utama kemalangan itu ialah kebanyakan
pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan
lesen memandu yang palsu. Oleh itu, apabila tidak memiliki lesen yang sah, maka
pemandu tersebut sudah semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu
kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan kemalangan. Setiap pemandu harus
mempunyai lesen kenderaan kerana sebelum seseorang itu memperoleh lesen
memandu, mereka telah didedahkan dengan teknik pemanduan yang betul. Malah apabila
mereka lulus ujian pemanduan barulah mereka dianggap layak memandu kenderaan.
Oleh itu seseorang yang masih tidak mempunyai lesen memandu dinasihatkan agar
tidak memandu kenderaan di jalan raya.
Selain itu, kebanyakan kes kemalangan jalan raya
juga berpunca daripada kecuaian pemandu kenderaan itu sendiri. Ramai pemandu
yang memandu dalam keadaan mengantuk. Biasanya keadaan mengantuk ini berlaku
ketika tengah hari dan sebelah malam. Mereka yang memandu dalam keadaan
mengantuk besar kemungkinan terlelap seketika semasa memandu. Seterusnya
mengakibatkan kenderaan mereka terbabas ataupun melanggar kenderaan lain pada
arah yang bertentangan. Saya amat berharap agar para pemandu memastikan mereka
tidak mengantuk semasa memandu kenderaan mereka. Sekiranya pemandu mengantuk
mereka dinasihatkan supaya berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
Para hadirin sekalian,
Kemalangan juga boleh berlaku apabila pemandu dalam
keadaan mabuk. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan mereka akan menjadi
berkurangan apabila mereka mabuk. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan
berkhayal. Kenderaan yang dipandu mungkin akan membelok ke kiri dan ke kanan
sehingga menyebabkan kemalangan. Lebih malang lagi jika kecuaian pemandu ini
melibatkan kemalangan kepada pihak lain. Saya juga berpesan kepada semua
hadirin agar tidak sekali-kali memandu dalam keadaan mabuk. Ia bukan sahaja
membahayakan nyawa anda malahan pengguna jalan raya yang lain.
Kita seharusnya memandu kenderaan yang sempurna
sifatnya. Sebelum memandu kenderaan, kita mesti memeriksa kenderaan kita supaya
selamat untuk dipandu. Contohnya, keadaan minyak hitam, brek, bateri, air, dan
lampu berada dalam keadaan baik. Terdapat pemandu yang tidak menghiraukan
masalah ini. Mereka mengabaikan kesempurnaan kereta mereka. Contohnya, mereka
tidak mengganti tayar yang haus. Apabila tayar kita sudah haus, sudah tentu
daya cengkaman kenderaan itu akan berkurangan. Hal ini lebih membahayakan
ketika hujan kerana sewaktu hujan, cengkaman tayar dengan jalan raya semakin
berkurangan. Jelas di sini, tayar yang haus boleh menyebabkan berlakunya
kemalangan jalan raya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Bagi
mengatasi masalah ini, pihak polis trafik telah mengadakan pelbagai usaha bagi
mengurangkan lagi kadar kemalangan jalan raya. Usaha yang dilakukan nampaknya
masih kurang berkesan. Pihak kami sering mengadakan kempen keselamatan jalan
raya terutama sempena sambutan hari raya. Hal ini kerana kami telah mendapat
maklumat bahawa kejadian kemalangan jalan raya semasa musim perayaan meningkat dengan
mendadak berbanding hari-hari lain. Hal ini kerana semua rakyat di Malaysia
akan melakukan perjalanan jauh sarna ada pulang ke kampung ataupun pergi
melancong. Kempen-kempen yang dilakukan tertumpu di jalan-jalan utama di
seluruh negara. Melalui kempen ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran
kepada pengguna jalan raya.
Pada tahun lepas, Menteri Besar Kedah telah
menyertai kempen keselamatan jalan raya. Kempen ini telah diadakan di lebuh
raya Bukit Kayu Hitam-Sungai Petani. Ketika beliau berucap, beliau telah
menekankan kesedaran kepada para pemandu agar memandu kenderaan mereka dengan
cermat. Malah beliau juga turut memberikan baju keselamatan kepada penunggang
motosikal. Kempen ini sekurang-kurangnya berjaya memberikan sedikit pengetahuan
kepada pengguna jalan raya.
Pihak polis trafik juga telah memasang kamera
perangkap kelajuan. Kami telah memasangnya di tempat-tempat yang strategik
iaitu kawasan yang biasanya dipandu laju oleh pemilik kenderaan. Jika mereka
memandu dengan kelajuan melebihi 110 km sejam, justeru kamera perangkap
kelajuan ini akan merakam gambar kereta dan pemandunya. Selepas disemak oleh
pegawai kami, dan didapati mereka telah melanggar had kelajuan yang dibenarkan,
pihak kami akan menghantar surat sama kepada pemiliknya. Cara ini telah dapat
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pasukan polis trafik bertugas selama 24 jam di
sekitar jalan raya utama di negara ini. Mereka akan memastikan agar pemandu
tidak membawa kenderaan mereka dengan laju atau secara berbahaya. Jika para
pemandu memandu kenderaan mereka dengan laju, mereka boleh disaman ataupun
kenderaan mereka boleh ditahan. Banyak saman telah dikeluarkan oleh pasukan
polis trafik melalui cara sebegini terutamanya di sekitar bandaraya Kuala
Lumpur, Pulau Pinang, dan di Johor Bahru.
Jelaslah bahawa kemalangan jalan raya sebenarnya
berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri. Seandainya pemandu itu
berhati-hati ketika memandu maka kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.
Tetapi seandainya pemandu itu masih lagi berdegil dan tidak mematuhi
undang-undang jalan raya justeru kadar kemalangan ini akan terus meningkat dari
semasa ke semasa. Oleh itu saya berharap agar setiap yang hadir ini menyedari
pentingnya kita berhemah semasa memandu di jalan raya. Saya juga berharap
perkara ini dapat disebarkan kepada orang lain yang tidak menghadiri majlis
ini.
Sebelum saya mengundurkan diri besarlah harapan
saya agar kemalangan jalan raya di negara ini dapat dikurangkan.
Sekian, terima
kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan